Search This Blog

"A teacher is someone who takes your hand, touches your heart and opens your mind..........."

29 April 2011

SEMUANYA DARI HATI


Segumpal darah bernama HATI.

“Dalam diri anak Adam itu ada segumpal daging. Bila baik daging itu baiklah seluruh anggota dan seluruh jasad. Bila jahat dan busuk daging itu jahatlah seluruh jasad. Ketahuilah, itulah hati.” (Riwayat Al Bukhari & Muslim)
Firman Allah : “Dan makanlah makanan yang halal lagi baik dari apa yang Allah telah rezekikan kepadamu dan bertakwalah kepada Allah yang kamu beriman dengan-Nya.” (Al Maidah : 88)

Hati adalah sumber ilham dan keseimbangan akal dan pertimbangan budi, tempat lahirnya cinta dan benci, marah dan dendam, keimanan dan kekufuran, taubat dan sikap degil, ketenangan dan kebimbangan dan kegembiraan. Hati juga sumber kebahagiaan jika kita mampu menjaganya dan redha di atas segaka ketentuan dan ujianNYA.

Jantung Hati

Hati terletak dekat jantung. Ha, bila hati kita berdetik, jantung kita pun berdetak. Mereka bersahabat baik. Bahasa mudahnya dimana terletaknya hati, disitulah adanya jantung. Contohnya bila hati kita gembira, jantung berdenyut nyaman dan tenang sekali. Bila kita dalam ketakutan, hati berkecamuk, jantung berdegup kencang, gupp, gupp, guppp.... Begitu juga kalau kita sedang marah, hati sedang geram teramat, jantung berdegup turun dan naik, dan hati pun tidak tenteram, tidak keruan dan sebagainya....
Jantung hati kata orang2 tua ialah kekasih hati, buah hati yang membawa maksud orang yang paling dicintai dan disayangi. Begitulah digambarkan kaitan antara jantung dan hati ini.
Sehati dan Sejiwa
Sehati sejiwa maksudnya sama rasa, seia sekata, sependapat, saling menyayangi antara dua insan, susah sama diharungi, manis sama dikecapi dan pahit maung sama dirasai. Seperti orang tengah hangat bercinta konon.....upppps, lautan api sanggup direnangi, hahahhaa, kena percikan dari setitis minyak panas dah meraung sakan!. Tapi tu cuma perumpamaan orang-orang melayu kita, betapa mereka sungguh2 untuk menyampaikan sesuatu maksud itu.
Hati Batu

Kita pernah mendengar orang selalu berkata hati batu kepada seseorang. Hati batu bukan bemakna seseorang itu mempunyai hati batu, hahahhaa. Hati batu maksudnya seseorang yang mempunyai hati nurani yang keras. Tidak mendengar dan tidak mudah menerima nasihat atau teguran orang, walau terang-terangan dia dipihak yang salah. Tidak terpengaruh dengan peristiwa-peristiwa yang dapat memberi pengajaran, seperti kematian, sakit, bencana dan seumpamanya.
Hati nurani inilah yang bersalut di dalam segumpal darah itu yang dianugerah Allah yang paling bernilai kepada kita. Hati kita ini akan mendorong kita melakukan samada kejahatan, amal makruf, nahi mungkar dan sebagainya selari dengan pertimbangan akal.


Terdapat 3 jenis hati yang ada pada kita. Hati anda yang macam mana? Mari kita sama-sama muhasabah diri. Subhanallah!

1. Hati yang Sihat


Hati yang selamat, hati yang suci bersih, tiada prasangka buruk terhadap orang lain, hati yang selalu ikhlas, takut dengan perintah-perintah dan hukum – hukum Allah dan sentiasa mengharapkan keredhaan Allah.
Hati yang sihat juga bermaksud adalah hati yang bersih dari kotoran-kotoran dan penyakit hati (sifat – sifat tercela seperti hasad, iri, dengki, ujub, riya’, dan sebagainya).
2. Hati yang Mati

Hati yang mati adalah hati yang terlalu mengikut kata hati dan hawa nafsu semata-mata. Mereka menghambakan diri dan menjadikan hawa nafsunya
sebagai tuhannya. Mereka menjadi sesat kerana tidak mengambil pelajaran dan pengiktibaran daripada apa yang berlaku. Hati mereka tidak menerima kebenaran walaupun kebenaran itu datangnya dari Allah karena hatinya telah bertuhan kepada hawa nafsunya semata-mata.
3. Hati yang Sakit

Hati yang sakit adalah hati yang tidak tetap. Hati yang senantiasa berubah-ubah. Kadang-kadang ia kelihatan membuat perkara-perkara amal soleh, ketaatan dan kebaikan. Kadang-kadang ia melakukan maksiat dan membuat dosa. Mereka ada perasaan keikhlasan dan kecintaan kepada amalan yang baik tetapi dalam masa yang sama juga hati mereka boleh berubah kerana mudah tunduk kepada hawa nafsu seperti, tamak, nafsu syahwat, sombong , bermegah-megah, bangga diri, dengki , iri hati dan khianat dan seumpamanya.
Minda ialah "Zikir Terapi" hati paling berkesan



28 April 2011

MENCARI KAWAN YANG BAIK DAN SEJATI?

Bersama kawan-kawan dalam pembinaan modul item Matematik. Kawan pencetus idea dalam satu group yang mantap.

Assalamualaikum...

Berjumpa lagi dengan saya di dini hari. Tidur lambat, bangun awal. Mesti ada rahmat-nya.
Pada suasana yang hening dan damai ini tiba-tiba teringatkan kawan-kawan seperjuangan yang sama-sama mencari rezeki. Bila sebut rezeki tentulah kawan-kawan di tempat kerja kerana kawan-kawan ditempat kerja lah yang banyak bergaul dengan kita. Hari-hari berjumpa. Kadang-kadang memang kita ada kawan sejati , kawan baik dan kawan rapat. Saya nak bezakan antara mereka pun tak berapa reti.

KAWAN SEJATI
Sehingga tamat persekolahan baru lah saya temui kawan sejati, iaitu setelah saya mula bekerja. Walau pun kini jarang bertemu sebab masing-masing dengan urusan kerja dan keluarga, tetapi bahang "kesejatian" begitu terasa sekali sampai kini Hubungan kami sangat rapat. Bukan rapat sebab selalu berhubungan atau keluar berjumpa, atau saling berkunjungan. Tapi kami rapat dari segi hubungan hati, tulus ikhlas, saling membantu dan prihatin bila ditimpa kesukaran atau musibah. Sentiasa menasihati bila kita alpa dan tersasar dan sentiasa bersama dalam susah dan senang.

KAWAN MAKAN KAWAN
Ada juga saya temui kawan jenis makan kawan.
Kita tak perlu berhati-hati memilih kawan. Apa yang penting ialah kita perlu berhati-hati bila berkawan. Dalam berkawan, yang baik pada kawan kita ambil, yang buruk jadikan sempadan dan cuba pulihkan, bukan mengapi2kan atau memburuk2kan.
Kawan yang makan kawan ialah kawan yang bermuka-muka, pandai sangat ambil hati dan kita percaya setengah mati. Segalanya diceritakan kepadanya bila berhadapan dengan masalah, tapi dibelakang kita kawan ini akan memburuk2kan kita dengan pelbagai cara.


Ini gambar kawan-kawan saya yang saling berkerjasama dalam satu team untuk melahirkan pelajar-pelajar yang cemerlang akhlak dan cemerlang sahsiahnya.

KAWAN MENANGIS DAN KETAWA
Kata orang kawan ketawa senang dicari, kawan menangis susah didapati. Memang jenis kawan seperti ini sering kita temui. Dalam hidup saya, saya tak sunyi daripada berjumpa dan bergaul dengan kawan yang seperti ini. Biasalah, manusia mana ada sempurna, kadangkala bila kita dalam kesusahan , ada kawan yang datang membantu meringankan beban dan perasaan yang kita tanggung. Dan pada masa yang sama juga ada kawan yang kata "padan muka mung", dan bersorak gembira bila kita ditimpa sebarang musibah dan menambah lagi dengan pelbagai umpatan. Tapi saya sangat bersyukur dan Alhamdulillah, sekarang ini, saya dikelilingi dengan kawan-kawan yang baik2 belaka. Semoga keadaan ini berterusan.

Tidak lupa berkunjung ke rumah kawan pada hari perkahwinannya bersama-sama dengan kawan seperjuangan.

KAWAN YANG "PUTAR ALAM"

Kawan jenis ini cakapnya berbelit-belit. Di depan kita lain bicaranya, dibelakang kita lain tutur katanya. Apa pun keuntungan selalu berpihak kepadanya. Nasibnya selalui baik, kadang-kadang selalu dicari orang untuk sesuatu tujuan tertentu yang berkepentingan.

KAWAN BILA PERLU SAHAJA (When need)
Maksudnya kawan yang hanya baik dan rapat dengan kita bila ketika dia dalam kesusahan dan memerlukan pertolongan sahaja. Jenis ini hanya pentingkan diri dan memerlukan pertolongan untuk kepentingan peribadinya. Apabila kepentingannya sudah terlaksana dan tercapai, mereka akan menjauhi dan silap haribulan boleh menjadi musuh.


Kawan-kawan yang sporting bila diminta bergambar untuk kenangan. Nampak ceria. Tetapi Cikgu Anita kurang sihat (yg ada tongkat). Hidap sakit jantung. Selalu jaga pemakanan dan kesihatan ye Nita...semoga kembali sihat.

KAWAN DAN SAHABAT
DAN RAKAN
Suka saya nak perkatakan perbezaan antara kawan, sahabat dan rakan.

KAWAN
Sebenarnya kategori dan jenis kawan sangat banyak. Tak penting dan tak perlu lah saya sebut semua sekali di sini. Cukuplah dengan apa yang saya sebut di atas tadi. Lagi pun saya tak ada idea pun untuk disenaraikan lagi , hahahahha. Hubungan antara kawan dan kawan ini tidak begitu mendalam dan bermakna. Kawan-kawan silih berganti dalam hidup kita mengikut di mana kita tinggal, dimana kita bekerja dan sebagainya dan sudah tentu bilangannya ramai dan pelbagai jenis seperti contoh2 tadi.

SAHABAT
Ada yang pada mulanya berkawan tetapi bila bertambah akrab bertukar menjadi sahabat.
Persahabatan juga mempengaruhi secara positif terhadap diri kita. Sahabat mempunyai maksud hubungan dua jiwa yang sangat ikhlas dan suci.
Dalam pengertian umum sahabat bermaksud teman. Sahabat karib juga bermaksud teman yang paling rapat. Sementara sahabat sehati bererti orang yang sentiasa menemani kita dalam keadaan suka dan duka, sakit atau sihat. Sahabat juga boleh menerima semua kelebihan maupun kekurangannya.

RAKAN

Hubungan yang agak jauh dan tidak rapat tetapi dalam skop yang lebih kecil. Tapi biasanya rakan digambarkan dalam keadaan ramai bilangan, seperti rakan facebook, rakan sekolah, rakan sekerja , rakan sekolej dan sebagainya.

Anda bagaimana? Apalah anggapan kawan-kawan saya kepada saya sebagai kawan kepada mereka. Tapi tak apa lah, saya sendiri pun tak nak tahu. Yang penting kena jaga etika ketika berkawan, tatasusila dan batasan adab. Jauhi lah menjadi seoarang kawan yang bersifat seperti tikam kawan dari belakang, gunting dalam lipatan dan duri dalam daging.

Ada kawan yang cemburu melihat kejayaan orang lain dan tidak boleh melihat seseorang itu lebih "tinggi" daripadanya dalam apa jua keadaan. Sebab itu lah pembersihan jiwa perlu kerana orang seperti ini tidak akan merasa bahagia dalam hidupnya selagi hasrat hatinya tidak tercapai.

Subhanallah......pengajaran dalam hidup menjadikan kita lebih matang dan berhati-hati semasa berkawan. Jauhi lah hati kita daripada hasad dengki dan khianat kerana jika ini bermaharajalela di hati, akan bertambah hitamlah jiwa kita.

Wallahua'lam.

27 April 2011

MACAM-MACAM HAL!!!

KESERONOKAN BEKERJA
Assalamualaikum, kepada sesiapa yang menjengah di ruangan ini. Ha ha ha...Saja-saja rasa nak berceloteh sorang-sorang, bercakap dengan minda sendiri untuk mencari sesuatu kepuasan dalaman yang tak terungkap dengan kata-kata. Entah tiba-tiba terfikir beberapa ungkapan yang selalu bermain di kepala.

Berkerja dengan seronok? seronoknya bekerja? pekerjaan yang menyeronokkan, keseronokan semasa bekerja? dan macam-macam lagi lah ungkapan yang selalu terlintas dihati saya. Saya menganggap perkataan seronok ini sebagai memberi "motivasi" kepada saya untuk meningkatkan prestasi kerja saya.....hmmm, saya pun terasa pelik juga, perkataan seronok tu yang membuat saya rasa lebih bersemangat.

Bagi saya, contohnya sebagai cikgu, berkerja dengan seronok bermakna semasa mengajar jiwa kita rasa gembira, pandang wajah anak murid rasa seperti anak sendiri (sayang anak murid, ajar2kan, denda2kan, bukan manja2kan), walau apa bentuk karektor saya bersama mereka:- serius, garang, selamba, kecindan, humor, namun hati kecil saya tetap rasa seronok berada dalam kelas, walau mungkin ekspresi wajah saya menggambarkan sebaliknya.

Seronoknya berkerja pula contohnya, kita tidak terasa bosan bila berhadapan dengan pelajar, walau apa pun tahap pencapaian mereka, di kelas mana mereka berada, dan apa saja kerenah mereka, tak sedar masa berlalu dan rasa seperti ingin bersama mereka selagi mereka masih tidak memahami sepenuhnya pengajaran kita.......saya tak kenal putus asa atau give up.

Saya menganggap kerjaya saya ini sebagai satu pekerjaan yang menyeronokkan. Saya tak peduli samaada pelajar saya sukakan saya atau tidak kerana saya banyak kelemahan dan kekurangan. Dalam hati saya kalau prestasi mereka meningkat dan maju, itu petanda mereka menerima pengajaran saya dan menerima saya seadanya. Saya tak pandai sangat mengambil hati mereka kerana ketegasan saya terhadap mereka dalam hal-hal masalah disiplin dan penerapan nilai-nilai murni. Seolah2 tiada kompromi.

Tapi hati kecil saya tetap rasa seronok bersama mereka, hahahahha,,,jadi saya anggap pekerjaan saya ini sangat menyeronokkan. Walau pun mungkin ada yang kata saya ni syok sendiri, tapi saya tak kisah. Pelik tapi benar, hehehe.

Jadi bila saya rasa pekerjaan saya ini menyeronokkan , maka timbul lah keseronokan semasa berkerja. Tidak kira lah siapa pengetua saya, penolong kanan , dan rakan-rakan seperjuangan saya. Sebab saya berasa saya bukan bekerja dengan mereka, tapi dengan pelajar saya. Pelajar didahulukan, pencapaian diutamakan.

Apabila berpegang kepada prinsip pelajar didahulukan, pencapaian diutamakan ini , segala kerja buat yang diarah oleh ketua kita, sebaik mungkin kita patuhi dan buat, kerana apa saja yg kita buat itu berasaskan kepada clients kita iaitu pelajar, demi anak-anak murid kita. Dok ggitu? ke guane? (loghat Trg)....jadi timbullah rasa seronok, kerana jiwa yang penyayang, walau penampilan kadang-kadang, alamak!!!! ............hanya anak murid saya dapat jawab.

Walau apa pun cikgu sayang anda semua......terasa sedih menyelinap seketika, tatkala memikirkan yang saya kaangkala terasa kurang berjaya mendidik mereka sebagimana yang sepatutnya saya lakukan. Maafkan cikgu, anak2ku.!.


TEAM WORK DALAM BEKERJA
Team work yang padu, kuat, saling bekerjasama, tiada prasangka buruk sesama sendiri, mempunyai satu matlamat dalam melestarikan hasrat mendidik anak didik dengan sebaik mungkin, tiada iri hati, tiada dendam dan khianat dan dengki amat dibutuhkan dalam usaha menjayakan sesuatu matlamat.

Pekerjaan yang dilakukan dengan niat yang baik dan ikhlas dan bukan tujuan menjatuhkan orang lain akan mewujudkan satu komuniti yang sihat dan berdaya maju. Maka kita akan dapat merasa kepuasan dalam melakukan sesuatu tugasan itu dan beban kerja menjadi ringan dan kita tidak stress dengan kerja yang kita tanggung. Sifat seperti memperlekehkan orang lain , memandang rendah akan usaha seseorang dan mencari kesalahan orang lain akan mengaibkan diri sendiri sahaja.

Jadi kita kena bekerja dengan berlapang dada, terima seadanya kekurangan rakan sekerja, kerana diri kita sendiri sudah tentu mempunyai berbilion-bilion kelemahan. (hahahhhaha, bukan berbilion2 lemon tau).....wallahua'lam.

MINDA KELAS PERTAMA
Semua orang sekarang sudah tahu beza antara minda kelas pertama dengan minda kelas ketiga.
Gambar di atas menunjukkan perbezaan jalanraya yang sama di Jepun selepas thunami dan gempa bumi baru-baru ini (pecah dan terbelah, dan berlubang besar2), dan dalam tempoh 6 hari sahaja sudah dapat dibaik pulih, (bukan 6 minggu, bukan 6 bulan, tapi 6 hari!!!!!). Gambar yang bawah sekali keadaan jalanraya selepas 6 hari dibaiki dan kelihatan jalan raya itu sudah siap dibaik pulih sepenuhnya. Wow, hebat bukan? sudah tentu ini kerja , idea dan tenaga gabungan dan paduan orang-orang minda kelas pertama!

Bagaimana dengan kita? kalau kita masih lagi dibelenggu dengan minda kelas ketiga? Tangguh kerja, mencari kesalahan orang lain, team work yang rapuh, berprasangka buruk, tidak amanah, bersifat iri hati dan dengki, sudah berpuas hati dengan apa yang telah dilakukan dan buta hati untuk menerima pengajaran yang membersih rohani dan kalbu.

Minda Kelas pertama ialah orang-orang yang berpandangan jauh, berfikir positif yang realistik dan hati-hati dalam bertindak tetapi efektif, berbudaya kerja cemerlang, berdaya saing dan berjaya melangkaui arus globalisasi (dalam bentuk anasir negatif) dan yang paling penting sekali ialah keutuhan dan kekuatan moral berpaksikan ajaran agama.

(Ya Allah, jauh lagi untuk diri saya.....tiada apa-apa yang ada pada saya, sebab apabila saya muhasabah diri sendiri, makin terasa sangat banyak kekurangan dan kealpaan dalam banyak perkara.)

LUCU YANG TAK LUCU
Gambar ni ramai orang kenal. Kadang-kadang disebut pen drive, kadang-kadang di sebut thumbnail dan macam2, yg saya sendiri tak tahu nama apa lagi. Gunanya untuk menyimpan data, memindah data daripada dan kepada komputer. Kecil saja, boleh dibawa ke mana-mana dan sangat berguna di zaman ICT ini. Tiap satu boleh tahan sehingga 10 tahun dan boleh dibeli dengan pebagai jenama yang pelbagi jenis. Saya ada 12 biji/keping, hehehe ,(maaf tak tahu dah nak guna penjodoh bilangan yg tepat) ada beberapa nya hilang tak tahu kat mana letak.

Tetapi di sebalik benda ini, saya nak kongsi satu cerita dengan anda. hahahahha.

Kawan saya ni memang tak celik IT. Tapi dia mempunyai beberapa pcs (orang putih pulak) pen drive ni. Bila nak masukkan apa2 data dia akan meminta kawan yg lakukan untuknya. Pada satu kejadian, saya telah menjatuhkan nya di atas lantai dengan tidak sengaja. Kawan saya ni terus mengambilnya dan lap cepat2 sambil berkata " habis lah kali ni, tentu dah dijangkiti virus ni, tentu kuman2 sangat cepat membiak kat dalam ni, sebab lantai ni kotor!"
Apa lagi ketawa lah saya berdekah2 rasa nak pecah perut.....

Adoi, macam2 hal. Zaman alaf baru ni segala benda bergerak pantas. Penciptaan baru silih berganti, tak terkejar oleh kita. Virus komputer ialah satu perisian yang direka oleh manusia untuk memusnahkan data/ pangkalan data yang ada dalam rantaian /jaringan (bukan virus yang kita belajar dalam Biology). Antara tanda-tanda komputer dijangkiti virius ialah data yang kita simpan hilang, atau terpadam atau tak dapat dibaca. Ia juga mempengaruhi kelajuan semasa berfungsi , hanging dan sebagainya.

Kebanyakan daripada kita hanya boleh menggunakan teknologi yang ada, dan sebahagian lagi boleh mencipta teknologi baru dan yang paling malang ada orang yang tidak tahu menggunakan teknologi , apa lagi untuk memanfaatkannya.

Segala benda dalam dunia ini mendatangkan faedah selagi kita menggunakannya ke jalan yang benar, dan akan membawa bencana dan mudarat atau kecelakaan jika menggunakannya dengan tujuan yang salah dan menyalahi undang2.

Sekian, Semua nya akan kembali kepadaNYA.....wallahua'lam.

14 April 2011

Pembentukan Akhlak Pelajar Bermula Di Rumah

"mahu membunuh diri? apa puncanya? tekanan perasaan kah? masalah keluarga di rumah? atau masalah rakan-rakan di sekolah? di asrama atau apakah...?

Assalamualaikum wbt...


Di pagi Jumaat yang hening dan damai ini hatiku sangat terusik dengan isu yang tak pernah lekang dibenakku. Salahlaku dan disiplin pelajar sekarang ini semakin menjadi-jadi. Namun aku sangat bersyukur kerana masih berkhidmat di sebuah sekolah yang mana pelajar-pelajarnya boleh dikatakan mempunyai akhlak yang baik, walau pun tidak lah 100% atau sepenuhnya memuaskan hati.


"MELENTUR BULUH BIAR DARI REBUNGNYA" bermakna, mendidik anak itu biar dari masa kecilnya, kerana anak-anak yang dilahirkan itu bagaikan kain putih dan ibu bapa mencorakkan anak-anak mereka mengikut apa yang diinginkan oleh mereka terhadap anak-anak.

Di sana sini sering terdengar gejala sosial yang tidak sihat dikalangan remaja. Keruntuhan akhlak yang membimbangkan masyarakat kita hari ini semakin ketara. Siapa yang patut dipersalahkan? Adakah ibu yang melahirkan? atau bapa yang membesarkan? atau guru yang mendidik? atau pemimpin / kerajaan yang memerintah?



Bagi pelajar-pelajar yang tinggal di asrama, mereka diasuh dan dididik menjalani rutin kehidupan mengikut lunas-lunas Islam. Sebagai contoh mereka diajar dan digalakkan solat lima waktu secara berjemaah setiap hari, mengaji Quran, mengikuti kuliah maghrib, tazkirah dan pelbagai aktiviti kerohanian.

Malah di dalam kelas guru-guru sentiasa menerapkan nilai-nilai murni di kalangan pelajar samada secara langung dan tidak langsung. Pelbagai aktiviti yang membabitkan usaha untuk meningkatkan prestasi disiplin pelajar diterapkan samada melalui program motivasi atau kegiatan luar bilik darjah seperti aktiviti anjuran unit kokurikulum dan kegiatan-kegiatan luar yang lainnya.

Anak-anak adalah amanah daripada Allah dan ibubapa adalah 'role-model' dalam institusi keluarga, maka apa yang kita zahirkan akan diperhatikan dan dipraktikkan oleh anak-anak kita. Anak-anakadalah pewaris bangsa pada masa akan datang. Keberkesanan didikan ibubapa pada hari ini akan membentuk generasi pelapis yang akan membentuk keutuhan peribadi dan rohani generasi yang akan datang.

Antara beberapa pendekatan tarbiyah kepada anak-anak.

1. Mewujudkan persekitaran yang baik bagi mendidik anak anak. Ibu bapa menjadi contoh di rumah, dalam masyarakat dan sekolah.

2. Solat berjemaah bersama anak dan keluarga di rumah sebagai amalan harian dan kerap membawa anak-anak ke majlis ilmu seperti ke masjid dan lain-lain.

3. Sentiasa memastikan anak-anak berada di rumah bersama keluarga pada waktu malam dan berjemaah bersama serta memantau mereka ketika mengulangkaji pelajaran.

4. Tidak memberi kemewahan berlebihan kepada anak-anak kerana nilai kasih sayang tidak dapat dinilai dengan kekayaan dan harta yang melimpah ruah.

5. Ibubapa harus akur kepada perkembangan dan pergaulan sosial remaja masa kini dan seharusnya bijak menangani cabaran masalah mereka dengan mendidik anak-anak selari dengan zaman yang semakin canggih ini.

BUKAN SALAH IBU MENGANDUNG.....

Siapa pun anda, siapa pun kita, siapa pun mereka dan siapa pun si anu dan si polan, apabila dinamakan insan, seorang anak dan seorang pelajar, semua kehidupan mereka adalah bermula daripada naungan seorang ibu dan seorang bapa.
Sebab itu lah pembentukan sahsiah seseorang anak itu bermula di rumah, di bawah tarbiyah ibu bapa yang bertanggungjawab mencorakkan peribadi dan sahsiah anak-anak.


Sabda Rasulullah SAW

" Anak-anak itu dilahirkan dalam keadaan suci bersih. Ibubapalah yang mencorakkannya menjadi Yahudi, Nasrani dan Majusi. ".



Kegagalan membentuk generasi yang bukan sahaja berilmu bahkan berakhlak mulia adalah berpunca daripada kegagalan ibu bapa dalam memperlengkapkan diri dengan elemen-elemen yang boleh menjadi contoh, cerminan, role model, idola kepada anak- anak mereka dalam semua aspek yang menjadi nilai dalam kehidupan.

Ibu bapa yang benar-benar inginkan anak-anak mereka cemerlang cemerlang dunia dan akhiratnya hendaklah sentiasa berusaha dan berdoa untuk menjadi ibu bapa cemerlang seiring dengan usaha demi menghasilkan anak yang cemerlang.

Kejayaan dan kecemerlangan anak-anak juga merupakan kecemerlangan dan kejayaan ibu bapa yang mendidik. Sekolah adalah sebuah institusi pendidikan di mana kesinambungan tarbiyah anak-anak daripada rumah akan diteruskan lagi dengan guru-guru sebagai pendokongnya yang memegang amanah yang sangat berat.

Ibu bapa seharusnya mempunyai pengetahuan yang cukup untuk mentarbiyah anak-anak sesuai dengan zaman alaf baru yang serba canggih untuk diterapkan ke dalam diri anak-anak dan memberi pendidikan soasial yang berteraskan ajaran agama.

Kerjasama antara guru dan ibu bapa dalam memupuk nilai kasih sayang antara anak-anak dan ibu bapa dalam institusi keluarga sangat penting untuk mewujudkan "keluarga penyayang", "sekolah ku rumahku" , "sekolah itu mulia" dan "rumah itu syurgaku".

Ibu bapa yang prihatin sentiasa menyambut baik usaha pihak sekolah untuk meningkatkan prestasi pelajar dalam akademik dan sahsiah anak-anak.

=================================================================

Di bawah ini merupakan petikan (sedutan) dari satu seminar keibubapaan yang ditulis oleh seorang Blogger yang menamakan diri nya sebagai Azhari(s).

ROTAN
oleh Azhari ( s)

Peranan Ibu Bapa Dalam Membentuk Generasi Berilmu dan Berakhlak ke arah Kecemerlangan di Dunia dan di Akhirat

Menggunakan rotan dalam kaedah pendidikan Islam adalah satu cara psikologi yang paling berkesan yang dianjurkan oleh Rasulullah SAW , dan disokong oleh sebuah hadis lagi yang bermaksud :"Allah SWT memberkati rumah yang di dalamnya ada digantung rotan".

Rotan bukan digunakan untuk mendera anak, tetapi fungsinya yang sebenar ialah untuk tujuan pendidikan. Kalau kita memukul anak yang enggan mendirikan sembahyang sedang ia telah berumur sepuluh tahun, apatah lagi yang telah 'Aqil Baligh mestilah dengan cara dan kaedah yang betul yang benar-benar bertujuan untuk mendidik, bukan mendera atau menyeksa anak. Perbuatan merotan yang didorong oleh niat yang ikhlas kerana menjalankan perintah Rasulallah SAW itu boleh menghalau syaitan yang bersarang dalam jiwa anak-anak kita. Tetapi merotan anak dengan sesuka hati dan tujuan mendera, hanya akan menyebabkan anak kita menjadi konco-konco syaitan yang menanamkan sifat dendam, benci, marah dan sebagainya.

KITA DAN ROTAN
Kalau kita di rumah tidakpun merotan anak kita yang layak dirotan, di luar rumah kita tidak dapat pastikan bahawa anak kita tidak menerima hukuman kepada kesalahan yang dilakukannya. Guru disiplin dan guru besar atau pengetua kini diberi lesen untuk menggunakan rotan. Lagipun yang mana lebih baik, di rumah kita gunakan rotan dan diluar anak kita menjadi manusia baik, atau kita tak pernah merotan anak hingga anak kita jadi pelesit lalu ditangkap oleh pihak berkuasa dan disumbat ke dalam penjara kerana kesalahan jenayah dan sebagainya.

Anak yang tidak pernah dirotan oleh ibu bapa akan menganggap diri mereka anak manja atau anak emas. Anak yang merasa diri mereka raja di dalam rumah akan menampakkan sikap yang degil seterusnya membawa kepada derhaka.

Namun demikian kita harus menggunakan rotan dengan cara yang berpatutan, bersesuaian dengan tujuan sebenar untuk memberi pendidikan. Kerana kalau tersilap langkah maka lain pula jadinya. Dalam hal ini kita jangan menjadi bapa ketam yang menyuruh anaknya berjalan betul sedangkan dirinya sendiri berjalan mengiring/mereng. Ini bermakna kita kenalah mempraktikkan pendidikan lisanul hal (amali/praktik), supaya anak-anak akan menjadikan kita sebagai 'role model' kepada diri mereka.

=============================================================
Akhir kalam dari saya:

Pendidikan untuk anak2 ini biasa nya dikaitkan secara langsung dengan insan yang bergelar guru dan ibu dan bapa. Mereka bertanggungjawab terhadap anak-anak dari kecil sehingga mereka menginjak dewasa.

Saya teringat pada suatu waktu ada pelajar daripada sebuah sekolah (tak sebut nama) yang secara terang-terang menyalahkan guru kerana di luar sana ada bekas pelajar yang menagih dadah, melakukan hubungan seks sebelum kawin, merempit dan sebagainya. Dia mempersoalkan adakah guru-guru ambil berat perkembangan anak didik mereka selepas keluar daripada alam persekolahan dan mengaju soalan adakah guru-guru tahu data dan statistik pelajar yang tidak "menjadi" itu. dan seterusnya menyalahkan 100% kepada pihak sekolah dan guru-gurunya kerana kegagalannya dalam akademik dan ketidakmenjadian akhlaknya.

Guru-guru sebenarnya akur akan ketidaksempurnaan diri dan sentiasa muhasabah diri yang mereka banyak terlepas pandang. Tidak berupaya mengawal tindak-tanduk pelajar sepanjang masa, atau pun bersama pelajar disaat-saat yang memerlukan. Cuma terkilan, kerana gagal mendidik mereka sebagaimana yang sepatutnya dan selaku seorang guru yang bergelar pendidik.
Subhanallah!

Apabila sesuatu salahlaku dan jenayah yang dilakukan oleh seorang remaja atau individu (yang telah tamat persekolahan), selalunya mereka jarang sekali dikaitkan dengan sekolah tempat mereka mendapat didikan, belajar dan menuntut ilmu, tetapi sebaliknya mereka akan dikaitkan dengan "siapa ibu bapa dan keluarga nya"?.

Hubungan anak dan ibu bapa tiada had tempoh dan sempadannya dalam mentarbiyah anak-anak. Tetapi apabila dikaitkan didikan dari seorang guru kepada pelajarnya ia adalah terhad dan terbatas.

Kerana seorang ibu dan seorang bapa berhak mendidik anak-anak walaupun anak-anak telah meningkat dewasa, sehingga lah mereka menutup mata untuk selamanya...

"SAYANGI LAH KELUARGA KITA"