52 pelajar SMAASZA dapat 9A
KUALA TERENGGANU - Cogan kata ‘Kalau tidak kita, siapa lagi? Kalau tidak sekarang, bila lagi?’ yang diterapkan dalam diri pelajarnya membuahkan hasil cemerlang kepada Sekolah Menengah Atas Sultan Zainal Abidin (SMAASZA).
Buktinya, keputusan Penilaian Menengah Rendah (PMR) yang diumumkan mencatatkan 52 daripada 114 pelajarnya mendapat 9A dalam peperiksaan itu.
Pencapaian yang diperoleh SM membolehkan sekolah itu tercatat dalam senarai sekolah berprestasi tinggi yang mencapai nilai Gred Purata Sekolah (GPS) kurang daripada 1.80.
Pengetuanya, Hashim Embung berkata, keseluruhan calon PMR berjaya lulus dengan memperoleh 1.14 nilai GPS berbanding tahun 2008 yang hanya mencatatkan 1.16 di dalam nilai berkenaan.
“Ini menunjukkan prestasi sekolah berada di tahap yang amat membanggakan hasil kerjasama guru dan pelajar serta mereka yang terlibat secara langsung atau tidak langsung dalam memastikan mereka memperoleh keputusan yang baik,” katanya kepada wartawan Sinar Harian yang membuat tinjauan ke SMAASZA.
Sementara itu, ketika ditemui di pejabatnya, beliau berkata, pencapaian yang diperoleh adalah kerana kesedaran ditanam dalam diri pelajar yang diterap sejak mula melangkah ke sekolah itu.
Selain itu katanya, pelbagai program yang dianjurkan pihak sekolah sejak awal persekolahan sehingga saat-saat akhir peperiksaan menunjukkan hasil membanggakan dan memberi kejayaan kepada pelajar.
Beliau berkata, sebagai sebuah sekolah menengah agama bukan berasrama penuh, beliau melahirkan rasa gembira kerana sekolah itu dapat berada setanding dengan yang mempunyai nama besar dan berada dalam senarai sepuluh Sekolah Berprestasi Tinggi.
(Sinar Harian 27hb Dec 2009)
"A teacher is someone who takes your hand, touches your heart and opens your mind..........."
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment