"A teacher is someone who takes your hand, touches your heart and opens your mind..........."
22 July 2011
Kala Ibu Bertemu Cikgu....
Hubungan yang baik antara pihak sekolah, guru-guru dan ibu bapa amat diperlukan dalam usaha untuk memantapkan lagi "sistem pentarbiyahan" anak-anak didik kita.
Harapan kami guru-guru agar ibu bapa sama-sama turun padang dan menggembelingkan tenaga bersama-sama dengan pihak sekolah dalam emmberi kerjasama dan sedia menangani masalah anak-anak kita. Semoga kejayaan dan kecemerlangan menjadi milik mereka.
Selalunya ibu lebih berterusterang dalam membicarakan masalah anak-anak mereka.
Mereka sanagt-sanagt mengharapkan guru membantu anak mereka dengan sepenuhnya jika terdapat masalah dalam pembelajaran dan juga sosial anak-anak mereka di sekolah.
Kegembiraan ibu bapa tergambar pada wajah, jika guru memperkatakan tentang prestasi anak mereka yg kian meningkat dan sebaliknya kepada ibu bapa yang anaknya semakin merosot. Harapan mereka sangat tinggi, sebolehnya mereka ingin melihat dan mendengar yang baik-baik sahaja tentang anak-anak. Tapi dunia alaf baru sekarang banyak pancarobanya. Sebab itu disiplin anak-anak harus di pupuk semasa masih kecil lagi, kerana akhlak anak-anak tetap bermula di rumah. Apabila anak itu melangkah ke asrama , tugas mendisiplinkan anak-anak terpikul atas kepala bahu para guru. Namun begitu, pemantauan ibu bapa seharusnya tidak terhenti di situ sahaja apabila anak tiada di depan mereka. Hubungan yang baik antara ibu bapa dan guru sangat perlu untuk proses mendidik merka berjalan dengan baik dan berkesan.
Alangkah bertuahnya seoarang ibu / guru menjadi role model kepada anak-anak didik mereka. Sekarang ni agaknya berapa ramai anak dan pelajar yang mengatakan bahawa role model mereka adalah ibu bapa dan guru mereka? Perubahan globalisasi dalam sistem pergaulan dan sosial sekarang ini amat mengganggu proses pendidikan anak-anak di sekolah mahupun di rumah. kekentalan jiwa dan pegangan agama yang kuat sahaja yang tidak dapat meruntuhkan benteng keimanan remaja sekarang. Soalnya adakah mereka mendapat bekalan amalan nilai-nilai yang baik dan amalan kehidupan mengikut lunas-lunas ajaran agama kita yang disemai di rumah atau yang dipupuk di sekolah? Jika tidak bermakna kita kurang berjaya dalam usaha mendidik mereka.
Anak-anak memerlukan kasih sayang dan pemerhatian daripada ibu bapa sepenuhnya. Kasih sayang ibu bapa terhadap anak-anak akan dapat dirasai oleh anak-anak meskipun mereka jauh dari pandangan ibu bapa yang anak-anaknya tinggal di asrama. Ini bergantung kepada kefahaman ibu bapa tentang konsep "keibubapaan" yang ditampilkan, amalan dan kesan yang mendalam yang dipamerkan atau diserapkan ke dalam hati anak-anak.
Sistem pendidikan sekarang dikatakan lebih kepada mementingkan prestasi akademik yang tidak seiring dengan nilai-nilai akhlak dan sahsiah. Kadang-kadnag betul juga dengan apa yang diperkatakan. Nilai presatasi akademik boleh diukur melalui pencapaian pada setiap kali peperiksaan terhadap anak-anak. Tapi nilai akhlak dan sahsiah pelajar tidak dapat diukur dengan angka atau gred A, B, C, D dan seterusnya. Syarat kemasukan anak-anak ke pusat-pusat pengajian tinggi pula tidak memfokuskan kepada pencapaian akhlak dan sahsiah secara menyuluruh. Sebab itu terdapat pelajar-pelajar cemerlang di universiti yang "tidak menjadi" dan melakukan salahlaku dengan perbuatan yang tidak baik dan menjatuhkan maruah ibu bapa.
(spt : mengandung anak luar nikah dsb). Nauzubillah.
Guru-guru di sekolah dikatakan sebagai pengganti ibu bapa kepada anak-anak apabila mereka tinggal di asrama. Sejauh mana "hubungan" itu berjalan dan berkesan? Terdapat banyak kekangan dan batasannya, kerana pertalian ini tidak sedarah dan sedaging. Namun nilai-nilai keguruan,keibuan dan kebapaan yang ada di hati sanubari guru, ia masih lagi dapat mengisi ruang yang diperlukan oleh pelajar walau tidak sepenuhnya. Sebab itu guru perlu lebih prihatin dan cakna kepada anak didik mereka dengan lebih dekat. Sistem mentor-mantee yang dilaksanakan di sekolah sedikit sebanyak dapat membantu memupuk kasih sayang antara guru dan murid. Walaubagaimna pun ia bergantung kepada komitmen dan keikhlasan yang tinggi dari guru dan pelajar itu sendiri.
Betapa bangga dan gembiranya anak-anak pelajar jika ibu bapa mereka berkunjung ke sekolah (tapi tidak bagi pelajar yang ada kes disiplin). Mereka berasa bangga memperkenalkan ibu bapa mereka kepada cikgu mereka. Itu lah anak-anak kita. Hati mereka dekat dengan kita jika kita menyuburkan mereka dengan nilai-nilai murni dan jati diri yang utuh. Nilai kasih sayang sangat penting dalam institusi kekeluargaan. Hargai lah masa anda dengan anak-anak. Ia adalah sebuah kehidupan yang indah! Mereka adalah amanah kita.
Kebahagiaan anak-anak adalah kebahagiaan ibu bapa. Kecemerlangan anak-anak adalah kecemerlangan ibu bapa. Justeru itu kasih sayang dan tautan hati yang erat antara anak dan ibu bapa dibutuhkan demi membentuk sebuah keluarga yang harmoni. Kadangkala terdapat dalam sebuah rumahtangga itu satu hubungan yang hambar dan tidak harmoni dimana sering terjadi persengketaan keluarga. Anak-anak yang lahir dalam kelompok keluarga sebegini membesar dalam suasana yang tidak harmoni dan akan menimbulkan konflik dalam jiwa mereka. Perkara seperti ini akan membawa kesan ke dalam kehidupan mereka di luar rumah, termasuk di sekolah, di asrama mahu pun di dalam pergaulannya dalam masyarakat. Sebab itu dikatakan bahawa kepincangan dalam sesebuah masyarakat juga bermula daripada pembentukan nilai-nilai kekeluargaan di rumah.
Semua orang ada ayah. Semua orang ada ibu. Semua orang ada cikgu atau guru dalam kehidupan mereka. Semua antara kita adalah pemimpin. Jika semua pemimpin amanah dengan tugas dan tanggungjawabnya, maka akan aman lah kehidupan ini, akan harmoni lah masyarakat kita. Antara kita saliang memerlukan antara satu sama lain untuk melengkapkan kehidupan masing-masing. sesungguhnya Allah menciptakan sesuatu itu tidak dengan sia-sia. Setiap hamba Allah ada hak masing-masing. Jika hidup kita sentiasa berpaksikan kepada ajaranNYA, Insyaallah akan mendapat rahmat dan barokahNYA.
Ibu hanya lah seorang, ayah hanya lah seorang, tetapi cikgu mungkin berpuluh atau beratus kepada seorang anak itu....
namun peranan mereka tetap melingkari sepanjang hidup mu.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment