Search This Blog

"A teacher is someone who takes your hand, touches your heart and opens your mind..........."

17 May 2012

Alahai cikgu di zaman alaf baru...

Para pendidik di alaf baru sekarang ini berdepan dengan pelbagai cabaran dan penuh dengan pancaroba. Dalam usaha untuk melahirkan "insan" bukan sedikit pengorbanan yang harus dipikul, bukan semudah seperti yang dijangkakan. Kita berdepan dengan remaja yang lahir di zaman digital, di mana semua perubahan berlaku dengan pantas yang memungkinkan nilai-nilai murni dan elemen-elemen keagamaan dipandang enteng dan diketepikan begitu sahaja.

 Mereka datang dari keluarga yang latarbelakang nya berbeza-beza. Suasana persekitaran yang membesarkan mereka sudah tentu berbeza juga. Sejauh mana etika dan sifat terpuji yang diserap oleh ibu bapa kepada anak-anak mempengaruhi kehidupan anak-anak di luar rumah? Guru di sekolah dipertanggungjawabkan untuk memastikan anak-anak ini mendapat 3A. A untuk Akhlak, A untuk Agama dan A untuk Akademik.


 Seoang guru itu dikatakan "gagal mendidik" jika sekiranya pelajar tersebut hanya berjaya dalam bidang akademik sahaja dengan pencapaian keputusan peperiksaan yang cemerlang sedangkan disiplin dan akhlak dikalangan pelajar tidak dapat dibendung.

 Sesuai dengan zaman digital dan ICT, cikgu-cikgu seharusnya boleh menggunakan aplikasi perisian komputer.  Ini satu lagi "beban"  bagi bagi guru-guru yang tidak celik IT. Walau bagaimanapun perubahan ini sentiasa disahut secara positif dikalangan guru-guru. Namun demikian boleh dikatakan lebih 80 peratus golongan guru sekarang ini boleh menguasai kemahiran ICT dengan baik, malah menggunakan aplikasi komputer dalam pembalajaran dan pengajaran di bilik darjah.


Ini memandangkan semua maklumat samada maklumat peribadi guru, maklumat pelajar atau sebarang rekod prestasi pelajar dimasukkan secara online. Ini akan memudahkan ibubapa mengakses sendiri rekod anak-anak masing-masing untuk melihat perkembangan pembelajaran mereka dari masa ke semasa.
 Sistem Analisa Peperiksaan. e-operasi, splg, SMAN dan lain-lain lagi telah dijalankan di semua sekolah di seluruh negara. Sistem di bawah kelolaan Kementerian Pelajaran Malaysia ini menuntut perubahan cara pengendalian kemasukan data secara online. Alah bisa tegal biasa.... begitu lah keadaannya, bila sudah terbiasa segala-galanya berjalan lancar, malah memudahkan segala urusan apabila data individu dikemaskini sendiri dari masa ke semasa.

Cikgu-cikgu juga berhadapan dengan masalah dalam usaha untuk meningkatkan prestasi pelajar sepadan dengan potensi yang ada pada mereka. Potensi pelajar seharusnya boleh dikembangkan berdasarkan kebolehan dan keupayaan mereka.  Untuk melahirkan pelajar yang berketrampilan dengan nilai-nilai akhlak yang mulia perlukan satu usaha yang yang "hebat" dengan kesepaduan insan yang bernama guru untuk menggalasnya. Masalah disiplin yang membelenggu sebahagian pelajar akan semestinya memberi suatu cabaran kepada golongan guru dalam usaha untuk membangun potensi diri mereka yang sebenar. Disini memerlukan kebijaksanaan, perancangan yang rapi, usaha yang berlipatkan ganda dan yang paling penting ialah ikhlas. Tanpa kecaknaan yang mendalam, mana mungkin sesuatu usaha itu akan berhasil.

Pelajar yang menjadi kebanggaan sekolah biasanya mereka yang berjaya dalam bidang kurikulum dan kokurikulum dengan cemerlang. Mereka berjaya mengharumkan nama baik sekolah dan meletakkan sekolah dimercu kegemilangan. Walau pun demikian, ramai juga terdapat dikalangan pelajar yang bermasalah dan tidak berisiplin masih boleh berjaya dan menjadi orang penting apabila mereka berada dalam sesebuah organisasi dan masyarakat. Ini bermakna potensi mereka berkembang dalam bidang tertentu yang diceburi sebaik saja tamat pengajian, disamping timbulnya kesedaran atau motivasi kendiri melalui pengamatan dan pemerhatian yang diserap di sekolah.

Konsep Guru Penyayang seharusnya difahami betul-betul. Setiap tingkah laku murid samada negatif maupun positif harus ditangani dengan bijak dan sudah tentu ada impaknya. Nilai-nilai ajaran agama perlu diutamakan dan harus digarap seamanah mungkin. Contoh tauladan dan sifat terpuji mesti ditonjolkan guru supaya menjadi ikutan dan role model dikalangan pelajar. Namun pengajaran kepada pelajar yang melakukan kesalahan mengikut tahap tertentu perlu diberi dengan berhemah dan berhikmah.

Kami guru-guru sekarang tergolong dalam generasi X, dan anak murid kami adalah generasi Y. Tugas kami generasi X mengajar dan mendidik generasi Y. Cetusan idea dan cara berfikir sudah tentu berbeza dan kadangkala akan menimbulkan konflik. Nah ini adalah salah satu lagi fenomena di mana cikgu harus bijak untuk menangani masalah disiplin dan salahlaku pelajar. Saya mengaku dari dulu hingga sekarang masih lagi kurang berjaya menangani masalah disiplin pelajar.
The Echo of the Baby Boom (lahir antara 1977 – 1997)
Gen Y lahir di dunia yang berteknologi tinggi. Alat-alat komunikasi canggih, gadjet-gedjet iaitu komputer dan handphone adalah sebagai suatu keperluan dan amat penting dalam kehidupan. Mereka adalah perintis kepada sebuah kehidupan globalisasi dalam dunia tanpa sempadan..
Generasi Y juga terdedah kepada kehidupan yang di penuhi dengan hiburan. Jika mereka kurang disuntik dengan nilai-nilai murni dan ajaran agama, mereka akan mudah terpedaya, leka dan seterusnya akan merosakkan masyarakat. Maka akan lahirlah sebuah masyarakat seperti mana mengikut acuan kapitalis.

Jadi kita sebagai guru seharusnya memikirkan bagaimana bentuk kemenjadian terhadap murid yang kita didik. Keberkesanan kita dalam mendidik mungkin bermula semasa proses P & P dalam bilik darjah. Jadi cikgu didorong agar menyediakan pelan P & P yang lebih kreatif dan selalu melakukan inovasi dalam pengajaran dari masa ke semasa.

Sungguh mencabar tugas guru di alaf baru kan? Adakah kita telah bersedia menghadapi nya?. Mungkin guru generasi X yang sekarang sedang mendidik generasi Y akan sempat pula menghadapi cabaran untuk mendidik generasi Z. Adakah kita akan berjaya

"Saidina Ali ada berkata:
Didiklah anak-anak kamu untuk zaman yang bukan zaman kamu. Anak adalah milik zamannya, maka didiklah anak sesuai dengan zamannya!”.

Zaman yang dimaksudkan ini adalah zaman perlumbaan ilmu.

05 May 2012

Sebuah Perkongsian

 Pada 21 dan 22hb April ini semua guru-guru Matematik SMR/PMR dari SMA Agama Negeri telah berkumpul dalam satu bengkel yang dinamakan Bengkel Pemantapan Matapelajaran Matematik. Bengkel ini diadakan di Batu buruk Beach Resort, Kuala Terengganu. Ia berkisar kepada perbincangan mengenai struktur pembinaan item mengikut aras dan kemahiran yang perlu dikuasai oleh murid.

 Bengkel ini juga memberi pendedahan cara-cara membina item,  peraturan dan skima pemarkahan dan cara-cara menyediakan bahan bantu mengajar berbantukan komputer dan kaedah-kaedah asas dalam penyelesaian masalah dalam Matematik.

 Kumpulan peserta guru adalah mereka yang sangat komited dan tekun sekali dalam masa mengikuti bengkel ini, disamping dapat bertukar-tukar pendapat serta pandangan untuk meningkatkan prestasi Matematik dikalangan murid masing-masing terutama dalam masalah memahami konsep asas Matematik.

 Guru sentiasa berhadapan dengan pelagai masalah dalam P & P matematik, kenapa?

Pengajaran dan pembelajaran matematik seharusnya bermakna, berguna dan mencabar
untuk murid.
Dengan ini ,murid akan melalui suasana pembelajaran yang menyeronokkan.
Oleh itu, penggunaan pelbagai teknik pengajaran dan pembelajaran dan latihan perlu
berperingkat, bermakna dan sesuai dengan kebolehan, pengalaman serta minat murid.




Guru-guru Matematik sebagai golongan yang dipertanggungjawabkan untuk mengajar Matematik berdepan dengan pelbagai masalah pengajaran Matematik yang berbeza mengikut tahap murid. Lebih-lebih lagi untuk menangani masalah murid yang menduduki kelas-kelas peperiksaan yang pencapaian Matematiknya agak rendah. Hanya guru matematik sahaja yang dapat memahami masalah mereka, namun untuk menyelesaikan bukanlah satu usaha yang mudah. Tidak semua guru Matematik berjaya menanganinya.



 Antara masalah yang biasa yang dikenalpasti ialah:

1. Murid tidak memberi fokus tentang apa yang diajar oleh guru
2. Murid tidak minat
3. Murid tidak membuat latihtubi/ homework yang diberi oleh guru.
4. Murid tidak berasa seronok belajar Matematik dan membosankan mereka.
5. Murid tidak memahami konsep asas Matematik.
6. Murid telah "setkan" dalam minda yang Matematik itu susah.



 Walau betapa banyak masalah yang kita hadapi, yang mana kita sebagai guru tidak dapat menyelesaikannya, ia tetap akan berpunca daripada guru itu sendiri juga. Antaranya mungkin:

1. Guru tidak berjaya menarik perhatian dan minat murid.
2. Tidak ada kepelbagaian kaedah yang disampaikan oleh guru untuk pelbagai tahap murid..
3. Tiada bahan bantu mengajar yang menyokong pengajaran guru.
4. Tiada sesi pemulihan yang bersungguh-sungguh dikalangan murid maupun guru.
5. Guru gagal memecahkan kebuntuan murid bahawa sebenarnya Matematik itu mudah.





Kawalan guru dalam kelas ketika sesi P & P adalah sangat penting. Ada antara murid yang langsung tidak memahami konsep asas matematik sejak dari awal lagi tanpa ada pemulihan menyebabkan mereka gagal menguasai konsep asas nombor dalam Matematik. Mereka juga akan gagal menguasai kemahiran-kemahiran Matematik yang asas - tambah, tolak darab dan bahagi. Jika masalah ini tidak dikenalpasti dari awal dan tidak diambil tindakan sewajar, maka sangatlah sukar mereka untuk mereka menguasai Matematik apabila menduduki tahun peperiksaan.



Agaknya apa yang anda boleh lakukan jika didapati murid anda tidak minat dengan apa yang anda ajar? Sebagai seorang guru Matematik, murid yang tidak minat matematik adalah perkara biasa dan sering terdapat saban tahun. Kadangkala ia juga berkait dengan masalah yang diwarisi! Masalah genetik, otak kiri dan otak kanan yang berkait dengan pelbagai kecerdasan. Jika masalah ini ditambah pula dengan masalah kurang minat dan tidak minat, maka wujudlah golongan murid yan lemah dan tercicir dalam matapelajaran Matematik.........apakah langkah-lanagkah yang perlu diambil untuk mengatasinya?