Search This Blog

"A teacher is someone who takes your hand, touches your heart and opens your mind..........."

03 August 2012

Oh cikgu, sedarkah kita?...

Saya sedang berkira-kira......kalau sorang murid ku mencapai 65% sahaja dalam ujian/peperiksaan,  bermakna dia hanya menguasai 65% sahaja pengetahuan dan kemahiran dalam Matematik. Bagaimana yang 35% lagi. Tak ingat kah, lupakah, atau cuaikah semasa menjawab, atau tidak fokus semasa P & P dalam kelas?
...atau mungkin juga mereka tidak dapat memahami sepenuhnya apa yang diajar, atau cara dan kaedah pengajaran saya yang tidak menarik atau membosankan? atau saya lebih garang berbanding dengan cikgu-cikgu lain? sehingga mereka hilang fokus? aishhhh, bermacam-macam perkara yang melintas di benakku.


Kepada mereka yang gagal menyiapkan homework yang diberi dianggap sebagai malas belajar secara kasarnya. Kalau dikaji mungkin banyak sebab lagi kot. Hai pening sungguh kepala saya dibuatnya. Sebab salah satu objektif P & P yang dikatakan tercapai ialah, murid dapat memahami apa yang dipelajari dan seterusnya berjaya melaksanakan tugasan yang diberi oleh guru.

Maka saya selalu muhasabah diri apabila sebaliknya berlaku disamping mencari kelemahan diri sendiri dan juga pelajar untuk penambahbaikan. Walau pun begitu ketegasan guru dalam mendidik pelajar sangat penting untuk menghasilkan pelajar yang cemerlang akademik dan juga sahsiah selari dengan potensi dan kebolehan yang ada pada individu pelajar itu sendiri..


Seminar untuk guru dan ibu bapa dalam konteks pendidikan anak-anak perlu disuntik dari masa ke semasa. maklumlah bukan senang hendak mendidik remaja zaman alaf baru generasi Y seperti sekarang. Pengetahuan dan kemahiran keibubapaan sangat penting dikuasai oleh dua golongan ini dalam usaha untuk melahirkan pelajar yang berkualiti yang akan membentuk masyarakat seimbang dari segi jasmani, emosi, rohani dan intelektual seperti yang termaktub dalam Falsafah Pendidikan Negara.


Pada satu hari nanti sistem pendidikan kita menjadi lebih fleksibel dimana pelajar lebih difokuskan kepada kebolehan dan keupayaan individu, tidak lagi berasaskan kepada peperiksaan semata-mata.



Pelajar berketrampilan biasanya berjaya dalam pelajaran dan juga kokurikulum disamping mempunyai akhlak dan pekerti yang baik.. Ini tidak menjadi masalah kepada guru. Yang menjadi masalahnya ialah , agaknya pelajar seperti ini ada berapa peratus disesebuah sekolah? Bagaimana dengan pelajar lain? Mereka seharusnya diberi perhatian. Mungkin ibu bapa atau guru sendiri banyak terlepas pendang kepada mereka. Mereka juga mungkin berpotensi seperti pelajar cemerlang tadi, tetapi puncanya perlu dikenalpasti untuk menyelesaikan masalah mereka....hai, banyak sungguh tanggungjawab cikgu yang perlu digalas dari bilik darjah sehinggalah kepada luar bilik darjah, dan mungkin juga latar belakang keluarga mereka demi bakat mereka yang harus dicungkil dan potensi sebenar mereka yang harus dikeluarkan dan dikembangkan.


 Guru-guru sentiasa berdepan dengan masalah sosial murid yang lebih mencabar. Guru perlu ada kredibiliti dan jati diri serta boleh dicontohi dan ditauladani oleh murid-muridnya. Adakah anda sebagai guru menjadi role model kepada murid-murid anda? Kenapa ramai remaja sekarang menjadikan orang lain seperti artis, sebagai role model mereka, bukannya ibu atau bapa atau guru mereka yang mendidik mereka?.

"guru kencing berdiri, murid kencing berlari".
"kalau guru makan berdiri, murid akan makan berlari"
"Bak nyiru bak tampian, bak guru bak anak sasian."
Ketiga-tiga peribahasa tersebut membawa maksud yang hampir sama, iaitu segala perlakuan yang dilakukan oleh guru akan menjadi ikutan kepada anak muridnya. Jika buruk contoh teladan yang ditunjukkan kan oleh guru, maka buruklah ikutan yang ditunjukkan oleh anak muridnya. malah kadangkala perlakuan murid jauh menjadi lebih buruk lagi. 

Di bawah ini adalah serangkap puisi yang pernah saya dengar dan ingat sehingga kini. Ia menggambarkan ketidakmenjadian murid sehingga mempersoalkan dengan siapa murid itu pernah belajar atau berguru dengannya.

Dari mana mula dikejar,
Rusa lari tepi perigi;
Guru mana tuan belajar,
Cuba hadap sekali lagi.

Besarnya peranan guru kepada murid. Ia melangkaui tamaddun zaman berzaman..


















02 August 2012

KIK kah kami?


KIK : Kumpulan Inovatif dan Kreatif

Pada April 2012 yang lalu saya berpeluang mengikuti kursus Fasilitator KIK atau Pemudahcara bagi Kumpulan Inovatif dan Kreatif Anjuran JPN negeri Terengganu Sektor Penilaian Dan Jaminan Kualiti. Saya difahamkan peserta yang mengikuti kursus ini apabila pulang ke sekolah kelak akan membimbing atau menjadi penggerak kepada kumpulan KIK sekolah masing-masing yang akan dibentuk oleh pihak pengurusan. Walaupun nama kumpulan ini sering saya dengar tetapi intisari kepada agenda, aktivititi dan matlamatnya sangatlah kabur bagi saya, sehingga lah saya menyertai kursus ini.


Pn Syaleeza Anuar sebagai penceramah kursus sedang menyampaikan  ceramah.

Kumpulan Kreatif dan Inovatif  (KIK) ini bermaksud satu kumpulan orang yang bekerja bersama-sama dan bermesyuarat secara tetap untuk mengenalpasti masalah, memilih masalah yang berkaitan dengan kerja mereka dan mengemukakan cadangan-cadangan kepada pihak pengurusan untuk dipertimbangkan. Mereka akan menjana idea-idea yang boleh meningkatkan kualiti kerja dalam pengurusan atau penghasilan produk.

Inovatif bermaksud apa sahaja kaedah untuk mencari jalan dan pencapaian untuk menghasilkan perkhidmatan atau produk yang lebih baik dengan pengubahsuaian dan penambahbaikan.
Kreatif ialah kebolehan dan keupayaan sesorang itu untuk menghasilkan, mewujudkan atau  membentuk ciptaan baru melalui kemahiran dan kecekapan minda dan imaginasi. 
 KIK merupakan mekanisme pengurusan yang berkesan untuk membina modal insan yang berketerampilan tinggi untuk meningkatkan kecekapan dan keberkesanan dalam perkhidmatan awam.


Berbeza dengan KMK, keahlian KIK tidak hanya terhad di kalangan anggota kumpulan sokongan dalam satu bahagian sahaja tetapi ia meliputi semua peringkat anggota dan boleh merentasi pelbagai bahagian dalam organisasi berkenaan. Program KIK bukan sahaja menyediakan teknik-teknik untuk menyelesaikan masalah yang wujud dalam organisasi, tetapi juga merangkumi kaedah untuk membolehkan ahli-ahli KIK bertindak secara kreatif dan inovatif bagi menghasilkan sesuatu yang baru atau dalam bentuk yang baru melalui kemahiran imaginasi yang membawa kepada peningkatan sistem penyampaian perkhidmatan kepada pelanggan.




Rajah Ishikawa : satu kaedah dalam penjelasan projek yang dijalankan. Kumpulan kami sungguh teruja.






Contoh KREATIF = iPAD
Contoh INOVASI = iPHONE
Steve Jobs yang terlebih dahulu mencipta iPAD dan diikuti iPHONE. Inovasinya ialah beliau telah mengeluarkan iPHONE yang lebih kecil untuk kemudahan telekomunikasi terlebih dahulu dan kemudiannya memasarkan  iPAD pula.



Rajin bertanya............menambah keyakinan.



 Bersungguh-sungguh........untuk merealisasikan harapan dan impian agar menjadi kenyataan.
Kebanyakan daripada mereka terdiri daripada pihak pengurusan sekolah dari pelbagai jawatan di seluruh negeri Terengganu.




Setelah selesai saya mengikuti kursus tersebut, Akhirnya inilah kumpulan KIK sekolah saya yang baru ditubuhkan...... Tunggu dan lihat saje ye, perkembangan daripada kumpulan kami ini, Al-Khwarizmi.

Selamat Berinovatif dan Berkreatif.



Leceh Betul lah . . .

"Semua nya kena kontrol, tak boleh itu, tak boleh ini, buat ini tak kena, buat yang ini salah. Geram betul rasanya. Siapalah yang buat undang-undang ni? Bukan besar pun kesalahan aku ni, perkara kecik ini pun nak berkira, ikut suka hati aku lah, leceh betul lah...."

Hidup kita dilingkari dengan peraturan dan undang-undang. Semua orang tidak suka dengan peraturan. Tapi tanpa peraturan hidup tidak terarah dan menjadi kucar kacir. Kalau di sekolah tiada peraturan maka bermaharajalela lah pelajar-pelajar kita,cikgu-cikgu pun huru-hura tidak berkerja dengan sistematik dan semborono sahaja. Proses P & P menjadi bercelaru dan tidak selaras dan seterusnya objektif tidak tercapai.





Sejak kecil lagi anak-anak diasuh oleh ibu bapa dan guru dengan peraturan-peraturan tertentu mengikut suasana , keadaan dan tempat. Bagaimana dengan kepatuhan mereka. Didikan yang sempurna amat susah diterapkan kepada anak-anak selagi kita dinamakan manusia. Namun dengan niat yang baik dan kesungguhan untuk membangunkan modal insan, golongan ibu bapa dan guru sangat memainkan peranan penting dalam merealisasikan hasrat itu.

Tuhan menjadikan manusia dan mendidik kita supaya patuh kepada peraturan dan undang-undang yang telah digariskan. Dengan adanya peraturan, kehidupan menjadi lebih terkawal. Undang-undang yang ditetapkan seharusnya dipatuhi sepenuhnya demi menjaga keharmonian bagi semua pihak. Selagi undang-undang yang dibuat itu bertujuan untuk kesejahteraan, keselamatan, kesenangan, kemudahan dan kebahagiaan kepada manusia dalam hidup bermasyarakat dan bernegara, maka ia seharusnya dipatuhi.




Kalau di pejabat dan mana-mana pusat pentadbiran tiada peraturan maka pengurusan menjadi haru biru. Maka akan berlakulah penyelewengan yang berleluasa, ketidakadilan dan porak peranda di dalam pengurusan dan pentadbiran.


 Jika tiada undang-undang dan peraturan jalanraya, tiada lampu isyarat maka kelam kabut dan tunggang langgang lah kenderaan dan akan menyebabkan kemalangan di sana sini. 
Apatah lagi kepada undang-undang dan peraturan daripada Maha Pencipta alam ini. Apa akan jadi jika bulan yang mengelingi bumi, bumi yang mengelilingai matahari pada paksinya, tidak lagi berputar sebagimana undang-undang yang sepatutnya daripada Tuhan yang maha berkuasa?



Kewajipan bersolat : Tidak kira bagaimana keadaan, di mana berada, kepatuhan kepada Yang Esa adalah tunggak keimanan.

Sebarang salahlaku yang bertentangan dengan tabii dan syariat atau jenayah yang dilakukan adalah bermula dengan ketidakpatuhan dengan norma-norma masyarakat mahu pun undang-undang Tuhan. Perbuatan maksiat dan segala gejala negatif dalam kehidupan adalah natijah kepada melanggar syarat-syarat dan hukum-hukum yang telah digariskan. Pada hakikatnya tiada seorang pun yang bahagia hidupnya di dalam dunia ini jika dalam rutin hariannya sentiasa bertindak melawan kepada perkara kebenaran dan amar makruf. Wallahua'lam.