Search This Blog

"A teacher is someone who takes your hand, touches your heart and opens your mind..........."

14 April 2011

Pembentukan Akhlak Pelajar Bermula Di Rumah

"mahu membunuh diri? apa puncanya? tekanan perasaan kah? masalah keluarga di rumah? atau masalah rakan-rakan di sekolah? di asrama atau apakah...?

Assalamualaikum wbt...


Di pagi Jumaat yang hening dan damai ini hatiku sangat terusik dengan isu yang tak pernah lekang dibenakku. Salahlaku dan disiplin pelajar sekarang ini semakin menjadi-jadi. Namun aku sangat bersyukur kerana masih berkhidmat di sebuah sekolah yang mana pelajar-pelajarnya boleh dikatakan mempunyai akhlak yang baik, walau pun tidak lah 100% atau sepenuhnya memuaskan hati.


"MELENTUR BULUH BIAR DARI REBUNGNYA" bermakna, mendidik anak itu biar dari masa kecilnya, kerana anak-anak yang dilahirkan itu bagaikan kain putih dan ibu bapa mencorakkan anak-anak mereka mengikut apa yang diinginkan oleh mereka terhadap anak-anak.

Di sana sini sering terdengar gejala sosial yang tidak sihat dikalangan remaja. Keruntuhan akhlak yang membimbangkan masyarakat kita hari ini semakin ketara. Siapa yang patut dipersalahkan? Adakah ibu yang melahirkan? atau bapa yang membesarkan? atau guru yang mendidik? atau pemimpin / kerajaan yang memerintah?



Bagi pelajar-pelajar yang tinggal di asrama, mereka diasuh dan dididik menjalani rutin kehidupan mengikut lunas-lunas Islam. Sebagai contoh mereka diajar dan digalakkan solat lima waktu secara berjemaah setiap hari, mengaji Quran, mengikuti kuliah maghrib, tazkirah dan pelbagai aktiviti kerohanian.

Malah di dalam kelas guru-guru sentiasa menerapkan nilai-nilai murni di kalangan pelajar samada secara langung dan tidak langsung. Pelbagai aktiviti yang membabitkan usaha untuk meningkatkan prestasi disiplin pelajar diterapkan samada melalui program motivasi atau kegiatan luar bilik darjah seperti aktiviti anjuran unit kokurikulum dan kegiatan-kegiatan luar yang lainnya.

Anak-anak adalah amanah daripada Allah dan ibubapa adalah 'role-model' dalam institusi keluarga, maka apa yang kita zahirkan akan diperhatikan dan dipraktikkan oleh anak-anak kita. Anak-anakadalah pewaris bangsa pada masa akan datang. Keberkesanan didikan ibubapa pada hari ini akan membentuk generasi pelapis yang akan membentuk keutuhan peribadi dan rohani generasi yang akan datang.

Antara beberapa pendekatan tarbiyah kepada anak-anak.

1. Mewujudkan persekitaran yang baik bagi mendidik anak anak. Ibu bapa menjadi contoh di rumah, dalam masyarakat dan sekolah.

2. Solat berjemaah bersama anak dan keluarga di rumah sebagai amalan harian dan kerap membawa anak-anak ke majlis ilmu seperti ke masjid dan lain-lain.

3. Sentiasa memastikan anak-anak berada di rumah bersama keluarga pada waktu malam dan berjemaah bersama serta memantau mereka ketika mengulangkaji pelajaran.

4. Tidak memberi kemewahan berlebihan kepada anak-anak kerana nilai kasih sayang tidak dapat dinilai dengan kekayaan dan harta yang melimpah ruah.

5. Ibubapa harus akur kepada perkembangan dan pergaulan sosial remaja masa kini dan seharusnya bijak menangani cabaran masalah mereka dengan mendidik anak-anak selari dengan zaman yang semakin canggih ini.

BUKAN SALAH IBU MENGANDUNG.....

Siapa pun anda, siapa pun kita, siapa pun mereka dan siapa pun si anu dan si polan, apabila dinamakan insan, seorang anak dan seorang pelajar, semua kehidupan mereka adalah bermula daripada naungan seorang ibu dan seorang bapa.
Sebab itu lah pembentukan sahsiah seseorang anak itu bermula di rumah, di bawah tarbiyah ibu bapa yang bertanggungjawab mencorakkan peribadi dan sahsiah anak-anak.


Sabda Rasulullah SAW

" Anak-anak itu dilahirkan dalam keadaan suci bersih. Ibubapalah yang mencorakkannya menjadi Yahudi, Nasrani dan Majusi. ".



Kegagalan membentuk generasi yang bukan sahaja berilmu bahkan berakhlak mulia adalah berpunca daripada kegagalan ibu bapa dalam memperlengkapkan diri dengan elemen-elemen yang boleh menjadi contoh, cerminan, role model, idola kepada anak- anak mereka dalam semua aspek yang menjadi nilai dalam kehidupan.

Ibu bapa yang benar-benar inginkan anak-anak mereka cemerlang cemerlang dunia dan akhiratnya hendaklah sentiasa berusaha dan berdoa untuk menjadi ibu bapa cemerlang seiring dengan usaha demi menghasilkan anak yang cemerlang.

Kejayaan dan kecemerlangan anak-anak juga merupakan kecemerlangan dan kejayaan ibu bapa yang mendidik. Sekolah adalah sebuah institusi pendidikan di mana kesinambungan tarbiyah anak-anak daripada rumah akan diteruskan lagi dengan guru-guru sebagai pendokongnya yang memegang amanah yang sangat berat.

Ibu bapa seharusnya mempunyai pengetahuan yang cukup untuk mentarbiyah anak-anak sesuai dengan zaman alaf baru yang serba canggih untuk diterapkan ke dalam diri anak-anak dan memberi pendidikan soasial yang berteraskan ajaran agama.

Kerjasama antara guru dan ibu bapa dalam memupuk nilai kasih sayang antara anak-anak dan ibu bapa dalam institusi keluarga sangat penting untuk mewujudkan "keluarga penyayang", "sekolah ku rumahku" , "sekolah itu mulia" dan "rumah itu syurgaku".

Ibu bapa yang prihatin sentiasa menyambut baik usaha pihak sekolah untuk meningkatkan prestasi pelajar dalam akademik dan sahsiah anak-anak.

=================================================================

Di bawah ini merupakan petikan (sedutan) dari satu seminar keibubapaan yang ditulis oleh seorang Blogger yang menamakan diri nya sebagai Azhari(s).

ROTAN
oleh Azhari ( s)

Peranan Ibu Bapa Dalam Membentuk Generasi Berilmu dan Berakhlak ke arah Kecemerlangan di Dunia dan di Akhirat

Menggunakan rotan dalam kaedah pendidikan Islam adalah satu cara psikologi yang paling berkesan yang dianjurkan oleh Rasulullah SAW , dan disokong oleh sebuah hadis lagi yang bermaksud :"Allah SWT memberkati rumah yang di dalamnya ada digantung rotan".

Rotan bukan digunakan untuk mendera anak, tetapi fungsinya yang sebenar ialah untuk tujuan pendidikan. Kalau kita memukul anak yang enggan mendirikan sembahyang sedang ia telah berumur sepuluh tahun, apatah lagi yang telah 'Aqil Baligh mestilah dengan cara dan kaedah yang betul yang benar-benar bertujuan untuk mendidik, bukan mendera atau menyeksa anak. Perbuatan merotan yang didorong oleh niat yang ikhlas kerana menjalankan perintah Rasulallah SAW itu boleh menghalau syaitan yang bersarang dalam jiwa anak-anak kita. Tetapi merotan anak dengan sesuka hati dan tujuan mendera, hanya akan menyebabkan anak kita menjadi konco-konco syaitan yang menanamkan sifat dendam, benci, marah dan sebagainya.

KITA DAN ROTAN
Kalau kita di rumah tidakpun merotan anak kita yang layak dirotan, di luar rumah kita tidak dapat pastikan bahawa anak kita tidak menerima hukuman kepada kesalahan yang dilakukannya. Guru disiplin dan guru besar atau pengetua kini diberi lesen untuk menggunakan rotan. Lagipun yang mana lebih baik, di rumah kita gunakan rotan dan diluar anak kita menjadi manusia baik, atau kita tak pernah merotan anak hingga anak kita jadi pelesit lalu ditangkap oleh pihak berkuasa dan disumbat ke dalam penjara kerana kesalahan jenayah dan sebagainya.

Anak yang tidak pernah dirotan oleh ibu bapa akan menganggap diri mereka anak manja atau anak emas. Anak yang merasa diri mereka raja di dalam rumah akan menampakkan sikap yang degil seterusnya membawa kepada derhaka.

Namun demikian kita harus menggunakan rotan dengan cara yang berpatutan, bersesuaian dengan tujuan sebenar untuk memberi pendidikan. Kerana kalau tersilap langkah maka lain pula jadinya. Dalam hal ini kita jangan menjadi bapa ketam yang menyuruh anaknya berjalan betul sedangkan dirinya sendiri berjalan mengiring/mereng. Ini bermakna kita kenalah mempraktikkan pendidikan lisanul hal (amali/praktik), supaya anak-anak akan menjadikan kita sebagai 'role model' kepada diri mereka.

=============================================================
Akhir kalam dari saya:

Pendidikan untuk anak2 ini biasa nya dikaitkan secara langsung dengan insan yang bergelar guru dan ibu dan bapa. Mereka bertanggungjawab terhadap anak-anak dari kecil sehingga mereka menginjak dewasa.

Saya teringat pada suatu waktu ada pelajar daripada sebuah sekolah (tak sebut nama) yang secara terang-terang menyalahkan guru kerana di luar sana ada bekas pelajar yang menagih dadah, melakukan hubungan seks sebelum kawin, merempit dan sebagainya. Dia mempersoalkan adakah guru-guru ambil berat perkembangan anak didik mereka selepas keluar daripada alam persekolahan dan mengaju soalan adakah guru-guru tahu data dan statistik pelajar yang tidak "menjadi" itu. dan seterusnya menyalahkan 100% kepada pihak sekolah dan guru-gurunya kerana kegagalannya dalam akademik dan ketidakmenjadian akhlaknya.

Guru-guru sebenarnya akur akan ketidaksempurnaan diri dan sentiasa muhasabah diri yang mereka banyak terlepas pandang. Tidak berupaya mengawal tindak-tanduk pelajar sepanjang masa, atau pun bersama pelajar disaat-saat yang memerlukan. Cuma terkilan, kerana gagal mendidik mereka sebagaimana yang sepatutnya dan selaku seorang guru yang bergelar pendidik.
Subhanallah!

Apabila sesuatu salahlaku dan jenayah yang dilakukan oleh seorang remaja atau individu (yang telah tamat persekolahan), selalunya mereka jarang sekali dikaitkan dengan sekolah tempat mereka mendapat didikan, belajar dan menuntut ilmu, tetapi sebaliknya mereka akan dikaitkan dengan "siapa ibu bapa dan keluarga nya"?.

Hubungan anak dan ibu bapa tiada had tempoh dan sempadannya dalam mentarbiyah anak-anak. Tetapi apabila dikaitkan didikan dari seorang guru kepada pelajarnya ia adalah terhad dan terbatas.

Kerana seorang ibu dan seorang bapa berhak mendidik anak-anak walaupun anak-anak telah meningkat dewasa, sehingga lah mereka menutup mata untuk selamanya...

"SAYANGI LAH KELUARGA KITA"

No comments:

Post a Comment